Rabu, 08 Oktober 2008

Membangunkan ekonomi secara seimbang dan komprehensif

LATAR SITUASI
JIKA pembangunan ekonomi dilakukan dengan tujuan memenuhi kehendak manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal, maka ia adalah pembangunan ekonomi yang menjadi intipati pada ideologi Komunisme. Jika pembangunan ekonomi dilakukan bagi memenuhi keperluan material, fizikal, kemudahan dan keselesaan, maka ia adalah pembangunan ekonomi yang amat dipentingkan dalam fahaman Kapitalisme. Jika pembangunan ekonomi perlu pula memastikan keadilan sosial terlaksana, maka ia adalah selaras dengan fahaman Sosialisme.

Antara isme-isme ini yang masih kekal berpengaruh ialah kapitalisme, yang menjadi teras kegerakan ekonomi Amerika Syarikat dan Barat amnya. Prinsip-prinsip komunisme semakin hari semakin dihakiskan dengan pembangunan yang berteraskan pada mekanisme kapitalisme, seperti pasaran terbuka, ekonomi bebas, menggalakkan pelaburan antarabangsa dan global, liberalisasi dan kekuasaan pasaran, persaingan bebas dan seumpamanya.

Sementara itu, keadilan sosial pula hanya dilaksanakan melalui agenda bantuan, derma, pembiayaan melalui yayasan ´philanthropist´ (kebajikan) dan sebagainya, termasuklah pinjaman jangka masa panjang. Biasanya mana-mana pihak yang menerima ´bantuan´ ini akan terasa terhutang budi sehingga terpaksa menyerahkan sebahagian dari kek ekonomi negaranya kepada si penderma.

Walau apapun, kesan ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat, khususnya terhadap negara baru merdeka, yang majoritinya miskin dan mundur - mengikut perspektif kapitalis Barat – amatlah mendukacitakan. Mereka didapati terus bergantung kepada negara-negara maju Barat dalam serba hal, termasuklah apa yang dinamakan sebagai bantuan kewangan. Lalu situasi ´telunjuk lurus kelingking berkait´ pun berlaku sehingga negara-negara Dunia Ketiga terus berada dalam genggaman negara-negara maju Barat. Mereka pun tidak mampu keluar dari kepompong kemiskinan dan kemunduran.

Situasi sebegini turut dialami oleh negara-negara Islam, termasuklah negara dan bangsa tempat kelahiran Islam. Pengabaian ajaran Islam oleh umatnya boleh dikatakan bermula semenjak kewafatan Nabi Muhammad s.a.w lagi. Paling ketara dan disebut secara jelas ialah apabila bangsa barbar Turk menakluk negara Islam, dan kemudiannya mereka sendiri memeluknya, lalu wujudlah Daulah Uthmaniyah.

Sejarah sebegini menunjukkan betapa kebesaran Islam yang tidak semestinya memilih umat yang mengakui sebagai penganutnya, tetapi pada masa yang sama, mengabaikan ajaran-ajaran yang telah ditentukan.Sesungguhnya, Islam mempunyai cara yang tersendiri untuk terus berada di persada dunia. Apa yang sedang berlaku di Malaysia adalah satu lagi contoh bagaimana ummah yang kecil dan tidak dikenali boleh menjadi contoh apabila ajaran Islam dipegangi dengan sekuat-kuatnya. Demikianlah gambaran ringkas betapa Islam mampu memandu-arah manusia ke arah kegemilangan. Jika sejarah kebangkitan dan pengembangan Islam disifatkan sebagai bunga bersama pedang, rentetan sejarah kebangkitan semula Islam menunjukkan sebaliknya.Pedang hanyalah ketika mempertahankan diri dan hak. Dengan itu, hak asasi manusia, manusia adalah bersaudara, demokrasi, keadilan sosial, adalah antara unsur-unsur yang sememangnya diperjuangkan oleh Islam. Cuma, oleh kerana kuasa hari ini dipegang oleh Barat, maka Barat pun mengakui bahawa semua itu adalah ciptaan mereka.PENGALAMAN MALAYSIAKetika Malaysia mendapat kemerdekaan, suara yang sama wujud. Malaysia tidak dipercayai dapat mengisi kemerdekaan kerana tidak mempunyai ilmu, lemah, miskin, memerlukan bantuan dalam serba hal dan sebagainya. Namun, kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan, dan Peristiwa 13 Mei 1969, memberi pengajaran baru kepada pemimpin negara agar lebih berhati-hati, lalu terhasillah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sehingga kini DEB tetap menjadi asas kepada program kemajuan, walau pun dalam Wawasan 2020, yang diformulakan dalam tahun 1990, yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Cabaran-cabaran baru yang muncul tetap tidak menggugat premis dan kerangka DEB. Sebaliknya, DEB tetap menjadi panduan dan garis utama untuk tapak-tapak pembangunan dan kemajuan seterusnya.

Kesannya sungguhlah memberangsangkan. Malaysia kini muncul sebagai negara contoh kepada negara-negara membangun lain; negara Islam contoh kepada negara-negara Islam yang ternyata masih belum dapat keluar dari pengaruh dan cengkaman Barat apabila cuba memenuhi kehendak rakyat dan negara dalam pembangunan.

Kini kehadiran negara-negara luar untuk mempelajari pengalaman Malaysia adalah suatu bentuk perhubungan antarabangsa yang baru. Wakil dari Malaysia diajak menjadi pengurus-tadbir pembangunan sesebuah negara. PERANAN AJARAN ISLAM Dalam apa jua situasi sekali pun, ajaran Islam tetap menjadi pegangan dan pedoman bagi Malaysia.

Selepas merdeka, Islam didakwa sebagai tidak mempunyai ilmu ekonomi yang diperlukan untuk membangunkan negara atau membawa kemajuan kepada negara. Islam dikatakan hanya mempunyai ajaran ibadah dan kepercayaan saja.Para intelek dan cendekiawan Islam bangkit dan menafikan kata-kata ini. Mereka bertegas menyatakan bahawa Islam adalah agama yang syumul, yang bermaksud mencakupi segala aspek kehidupan… dan bidang ekonomi pun tidak tertinggal.

Para cendekiawan Islam pun sibuk mengIslamisasikan ilmu-ilmu yang datang dari Barat. Dengan itu, muncullah istilah seperti ekonomi Islam. Usaha ini digerakkan oleh kumpulan moderat Islam, yang terdiri dari cendikiawan berpendidikan Barat, berkongsi pendapat dengan pemodenan dan kemajuan. Namun, ada yang melihat usaha mengIslamisasikan ilmu yang mencakupi bukan saja ekonomi bahkan juga sains, sebagai usaha mengada-ada kerana tidak mahu dan malu mengakui bahawa apa yang sedang mereka lakukan ialah meniru, menyesuaikan ilmu dari Barat yang sekular, bersifat Kristian, dan ciptaan manusia yang dianggap sebagai lemah dan berubah-ubah.

Berbanding dengan ayat suci al-Quran dan Sunnah, maka akal manusia dilihat sebagai tidak begitu perlu dijadikan asas tindakan selanjutnya. Malaysia memerhati keseluruhan perkembangan dan kemajuan yang berlaku dalam dunia Islam ini. Dari gerakan yang sederhana, muncul pula gerakan yang semakin taksub. Fundamental Islam diwajahkan sebagai ekstrem, dan puak berhaluan militan tampil di tengah-tengah masyarakat Islam yang sepatutnya merupakan sebuah masyarakat yang cintakan keamanan dan kedamaian.Malaysia mengikuti semua perkembangan ini.

Tindakan-tindakan Malaysia dijadikan bahan tumpuan utama. Mutakhirnya, didapati apa yang berlaku adalah sesuatu perkara yang sememangnya mengikut landasan agama. Ia bersifat ketamadunan dan ini perlu diperkukuhkan. Apa yang sedang berlaku di negara-negara Arab adalah kerana situasi politik semasa yang mendapat tekanan dari, sekali lagi, kuasa Barat. Perjuangan dan penentangan untuk mendapatkan kemerdekaan dikatakan sebagai pemberontakan.

Justeru, Islam Hadhari pun menjadi istilah yang dipilih untuk menggambarkan apa yang sedang dilakukan oleh Malaysia, bukan saja kepada umat tempatan, ataupun kepada negara-negara Islam, bahkan dunia seluruhnya, termasuklah Barat. Menamakan pendekatan ala Malaysia ini penting bagi membezakan ajaran Islam dengan perjuangan sebuah ummah yang dinafi-rampas hak mereka. Dengan kedudukan dan taraf Malaysia sebagai negara Islam contoh, maka istilah ini menjadi perhatian dunia.

INTISARI PEMBANGUNAN ISLAM HADHARI. Apa yang lebih mencabar ialah merealisasikan pembangunan ekonomi secara seimbang dan komprehensif. Sungguhpun begitu, ini bukanlah bermakna Islam Hadhari hanya mempunyai falsafah ekonomi yang sebegini saja. Ini adalah lebih difahami sebagai bersesuaian dengan konteks Malaysia.Kalau diperhatikan kandungan Islam Hadhari yang telah digariskan oleh Perdana Menteri Malaysia, agenda pembangunan ekonomi ini bukanlah suatu bentuk pembangunan yang tidak ada kaitan dengan agenda-agenda lain, yang kesemuanya berjumlah 10 perkara.

Pembangunan ekonomi ini boleh dikaitkan dengan penguasaan ilmu pengetahuan, yang sudah tentunya bidang atau ilmu ekonomi turut terlibat. Melalui perbankan Islam, banyak istilah produk kewangan diketengahkan seperti ‘bait mal ajil’, ‘mudharabah’, ‘murabahah’ dan sebagainya. Para anggota panel syariah ternyata mempunyai mekanisme yang sewajarnya untuk digunakan bagi mengasingkan ajaran Islam dengan amalan konvensional dalam perbankan. Dengan itu tumbuhlah sebahagian daripada ilmu ekonomi.Begitu juga dengan agenda kehidupan berkualiti; memastikan hak minoriti dan wanita; budaya dan moral; dan seterusnya, pemeliharaan alam sekitar. Semua agenda-agenda ini pastinya saling berkait bagi menguatkan lagi pengertian melakarkan Islam Hadhari.

Sungguhpun begitu, tumpuan utama ialah keseimbangan pembangunan dan sifat komprehensif yang perlu diwujudkan dalam perencanaan pembangunan.

i) Pembangunan Yang Seimbang
Konsep keseimbangan pembangunan ini adalah berteraskan pada ajaran Islam yang ingin melahirkan ummah yang seimbang, ´ummatan wasata´. Walaupun maksud ´wasata´ yang ditujukan pada ummah ini hanya bermaksud seimbang dari segi emosi dan mental, fizikal dan kerohanian, intelek dan kemampuan, potensi dan keupayaan dan seterusnya, namun apabila diaplikasikan pada pembangunan, ternyata ia lebih meluas dan menyeluruh.
Bajet yang berhemah, seimbang, adalah antara konsep-konsep bajet yang pernah menjadi pendekatan dalam belanjawan negara. Maksud utamanya ialah hasrat bajet yang cuba mewujudkan dan melahirkan suatu dimensi ekonomi yang seimbang untuk semua kaum. Ini selaras dengan situasi negara yang mempunyai pelbagai jenis warganegara iaitu pelbagai kaum dan kebudayaan, agama, kepercayaan dan sebagainya. Semuanya perlu diberikan hak dan peluang yang sama. Lantas, seimbang dan dari keseimbangan ini terpancarlah keadilan, yang dapat memuaskan semua pihak.Apabila diperhalusi adalah ternyata bahawa dasar keseimbangan yang pernah diwujudkan semenjak 1970 melalui DEB, adalah merupakan dasar yang secucuk dengan ajaran Islam.

Walaupun pencapaian DEB adalah terbatas sehingga terpaksa dilanjutkan setelah tempoh tamatnya, 1990, tidak dapat menghasilkan keseimbangan sebagaimana yang dirancang, namun kesan dan impaknya adalah sungguh positif, bermanfaat, menggalakkan dan terpentingnya, mampu menjanakan pertumbuhan ekonomi sehingga tidak pernah dicapai oleh mana-mana negara di dunia sebelum ini.Sesungguhnya, ini adalah bukti keberkesanan, bukti kerelevanan konsep pembangunan yang seimbang.

Dengan itu, maksud pembangunan seimbang adalah bermaksud seimbang dari segi peratusan ekuiti, pengurusan dan kakitangan, persyarikatan, perindustrian, perbankan, kewangan dan seterusnya… dalam semua sektor. Hal ini juga diteruskan dalam kerangka perdangan antarabangsa Malaysia, yang menerima asas globalisasi dan liberalisasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).2) Pembangunan Yang KomprehensifBegitu jugalah dalam konteks komprehensif. Sememangnya dasar keseimbangan ini berlaku dalam sektor-sektor yang menyeluruh dan sektor-sektor ini diperlebarkan dari masa ke semasa. Ini penting dan diperlukan adalah kerana pengalaman pahit dan hitam 13 Mei mengajar bahawa pembahagian kek ekonomi mampu meredakan perbalahan atau perselisihan antara warga yang berbilang kaum.

Ertinya, keseimbangan dalam ‘pembahagian kek ekonomi negara’ dan secara komprehensif ini mampu menyatupadukan seluruh warga Malaysia.Meskipun dapat diterima bahawa pembangunan ekonomi bukanlah semestinya menjadi satu-satunya cara untuk mencapai perpaduan pelbagai kaum, namun aspek ekonomi mampu melonjakkan keperluan untuk mengekalkan perpaduan. Ini tidak boleh dinafikan dan diperlekehkan lagi. Mereka yang mengkritik perpaduan melalui pembahagian ekonomi yang komprehensif, tidak dapat membuktikan bahawa strategi dan serampang perancangan ekonomi sebegini tidak berfungsi. Ia sudah menjadi satu realiti, bukan lagi sekadar pemikiran yang belum teruji.

PERLUNYA KAJIAN KESEIMBANGAN Sememangnya, untuk mencapai tahap keseimbangan ini amatlah sukar. Namun, kesukaran ini perlu dilihat lebih sebagai cabaran dan ujian. Inilah fahaman dan minda proaktif yang perlu ada.Lagi pun, ajaran Islam sememangnya menegaskan cabaran dan ujian adalah lumrah. Ini terbukti apabila setiap daripada umat Islam akan diuji sebaik saja mereka mengakui memeluk Islam. Dengan kata lain, kesukaran perlu diterima seadanya dan seterusnya mencari jalan-jalan yang boleh sekurang-kurangnya meredakannya.Begitu jugalah dengan persaingan yang menjadi ciri utama dalam dunia perniagaan yang dikuasai oleh tatacara kapitalisme. Cuma persaingan itu mestilah sihat dan adil. Inilah yang telah ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun DrMahathir Mohamad ketika menjelaskan maksud ´level playing field´ (tahap kesaksamaan apabila bersaing). Kemampuan dan potensi perlu juga diambil kira, bukan saja faktor modal.1) Ciri dan Cabaran KeseimbanganSatu perkara yang perlu diingati di sini ialah apabila konsep keseimbangan ´wasata´ ini diterimakai, tersirat di dalamnya ialah kejujuran dan keikhlasan. Ini adalah dua faktor ´ke dalam´ yang amat penting dan sering menjadi perhatian dan komentar pelbagai pihak khususnya parti politik pembangkang. Walau apapun, adalah jelas dan nyata rakyat tidak terpengaruh dan memahami telatah parti pembangkang yang tidak senang dengan kejayaan kerajaan yang ada.

Mereka sanggup mengkritik apa jua perancangan kerajaan. Mereka pula berselindung di sebalik kononnya untuk memainkan peranan pencegah kemungkaran seperti judi, arak, kelab malam, peningkatan jenayah dan sebagainya. Namun, mereka tidak dapat menerima pula bahawa peranan pencegah kemungkaran mereka itu hanya menghasilkan situasi yang lebih buruk – mengancam perpaduan sesama ummah. Apabila dikatakan mereka ekstrem, mereka menafikannya dan mengaku tidak bertanggungjawab pula. Inilah taktik lempar batu sembunyi tangan. Malah taktik ini lebih kurang sama dengan “mat rempit” ataupun “mat motor” yang memarahi pihak berkuasa apabila menyekat kegiatan mereka yang menyalahi undang-undang dan mengancam ketenteraman awam. Mereka tidak tahu untuk menjadi pencegah kemungkaran.

Demikianlah gambaran cabaran yang tidak diperlukan. Cabaran sebenar ialah persaingan; cepat merebut peluang yang terhidang; mempunyai kelebihan (edge) dalam bidang-bidang strategik dan utama; mampu menarik minat pelabur, rakan kongsi; mempunyai teknologi yang sesuai (hands on) dan canggih (state of the art); dan sebagainya.

Dari segi modal, atau sumber kewangan, Malaysia kini tidak begitu berdepan dengan masalah. Rekod pembayaran hutang luar yang cepat, pembangunan yang berterusan, penjanaan ekonomi domestik yang menggalakkan, di samping pelbagai insentif untuk pelabur luar dan dalaman yang senantiasa diperkemaskan, menjadi antara faktor-faktor yang mampu mencambahkan kegiatan ekonomi negara. Lagi pun bon keluaran negara mampu menarik minat pelabur antarabangsa. Malaysia meraih rating yang baik daripada masyarakat pelabur.

Selain itu, Malaysia juga mempunyai rekod yang baik dengan negara-negara jiran dan luar - sejauh Afrika dan Amerika Selatan. Pelabur Malaysia senantiasa diperingatkan supaya berhemah, tidak mengeksploitasi, mendiskriminasi negara-negara pelaburan mereka. Sekali lagi inilah juga aspek yang menjadi titik nilai ajaran Islam. Akibatnya, nama Malaysia begitu popular, dan Petronas adalah antara syarikat yang paling disegani di negara-negara miskin dan membangun.

Semua ini adalah contoh-contoh kemajuan, pelaburan, kegiatan ekonomi serta perdagangan dan perniagaan yang biasa (normal) di persada dunia. Apakah Islam Hadhari mempunyai ciri-ciri pembangunan yang istimewa?
Jawapannya ialah ya!

PEMBANGUNAN ALA ISLAM HADHARI
Apabila ilmu ekonomi diterimapakai di Malaysia, yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, Malaysia tidak dapat lari daripada melihat kesan ekonomi ini dari sudut yang berbeza. Dengan kata lain, bukan kerana Malaysia adalah bekas tanah jajahan, fobia terhadap neo-kolonialisme, ataupun terpengaruh dengan pergerakan Islam antarabangsa.
Malaysia sememangnya mempunyai pandangan tersendiri dan acuan negaranya yang pelbagai kaum ini merencahkan suatu pendekatan yang tersendiri.

Walau apa pun, pendekatan ini semestinya, tidak lari dari ajaran Islam. Justeru, nilai-pandu yang murni dan mulia, yang terdapat dalam ajaran Islam mendorong Malaysia untuk memperaktikkannya. Ini bukan sahaja ditujukan pada usaha mewujudkan makanan halal yang kini sudah menjadi satu produk bertaraf antarabangsa ataupun mewujudkan produk kewangan Islam, perbankan Islam, bon Islam dan seumpamanya.

Malaysia mempunyai wawasan yang lebih penting daripada hal-hal yang sekadar terlibat secara langsung dengan bidang ekonomi. Ini kerana ilmu ekonomi lahir dari Barat, manakala nilai moral dan etika dalam perniagaan dan perdagangan muncul dalam Islam – dua aspek utama ekonomi - dari sunnah Nabi saw. dan ayat-ayat suci al-Quran.

Penggabungan antara ilmu dan nilai ini pastinya menjadikan ´perkhidmatan´ kepada masyarakat bertambah berkualiti. Apa lagi apabila ekonomi, sebagai ilmu, adalah juga bererti sebagai alat yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan sasaran.
Sifat talam dua muka ilmu ini perlu dibendung dan di sinilah moral dan etika Islam memainkan peranan penting dan sungguh bermakna. Inilah juga yang menjadi asas dan sasaran-motif Islam Hadhari dalam bidang pembangunan dan kemajuan bila meletakkan keseimbangan dan komprehensif sebagai neraca perencanaan.

Ini juga tidak bererti Islam Hadhari akan terhenti pada satu-satu takuk tertentu. Sebaliknya, segala ciri-ciri keseimbangan perlu diperincikan dengan lebih tuntas lagi. Begitu juga dengan aspek-aspek yang terkandung dalam perancangan yang komprehensif. Pastinya aspek-aspek ekonomi akan ditambah dari masa ke semasa agar pencapaian tidak dihakiskan dengan cabaran atau persoalan baru yang muncul kesan dari perubahan-perubahan yang berlaku.

Apa yang jelas, walau apa situasi dan kondisi sekali pun, nilai moral dan etika dalam kegiatan ekonomi perlu dipastikan tidak terhakis. Ini kerana nilai-nilai inilah yang bakal menjamin kesinambungan pembangunan yang berterusan, tanpa diganggu-gugat oleh unsur ketidakadilan, pengeksploitasian, diskriminasi dan sebagainya. Lantas mengukuhkan asas-asas ketamadunan Islam Hadhari.

Sesungguhnya nilai tatacara menjalankan aktiviti perekonomian Islam Hadhari bertitik-tolak daripada pengharaman riba dan keizinan berniaga. Titik perbezaan antara pengambilan riba dan perolehan untung perlu didalami kerana manusia begitu pintar mencipta istilah dan kaedah yang boleh mengelirukan orang ramai ataupun khalayak pengguna. Konsekwennya ke atas para ulama dan cendekiawan Islam.

Ini kerana tabii semula jadi manusia yang inginkan keuntungan atau lebih dikenali dewasa ini sebagai untuk cepat kaya. Manusia boleh berusaha untuk hidup seribu tahun lagi, tetapi untuk beramal (termasuk kebajikan dan berperikemanusiaan) seolah-olah akan mati pada esok hari adalah sesuatu yang sukar dilakukan. Di sinilah terletaknya peranan pemerintah, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan tidak ketinggalan juga, orang ramai yang perlu bertugas sebagai ´muhtasib´ (menyemak bagi memastikan segala aktiviti perniagaan dan perdagangan berjalan mengikut tatacara yang sewajarnya). Institusi ‘muhtasib’ ini sudah wujud dalam masyarakat Islam lebih 800 tahun yang lalu.

Inilah titik keseimbangan dan komprehensif yang perlu ditekankan oleh Islam Hadhari. Keuntungan berlebihan dan tanpa kawalan akan hanya mengundang padah sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa negara di Amerika Selatan. Dengan kata lain, keseimbangan dan pembangunan yang komprehensif bukanlah saja bererti pembahagian ekonomi yang meluas dan seimbang antara pelbagai kaum yang menjadi warga sesebuah negara.

Keseimbangan juga diperlukan dalam aspek kewujudan golongan kaya. Komunisme muncul akibat ketidakseimbangan penduduk antara kaya dan miskin. Kapitalisme di tentang kerana mengizinkan atau hanya mewujudkan peluang untuk mereka yang bermodal saja. Islam pula sering mengaturkan tatacara kehidupan miskin-kaya dengan bermaruah dan jaminan, iaitu dengan prinsip harta orang kaya adalah sebahagiannya milik orang miskin.
Prinsip sebeginilah juga yang diperjuangkan dalam Islam Hadhari. Malah banyak lagi prinsip dalam Islam yang perlu diketengahkan bagi mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan.

Antaranya ialah:

1. golongan berada tidak disekat daripada meneruskan aktiviti pengumpulan harta kekayaan;
2. zakat dikenakan bagi mengagih-agihkan kekayaan dan menjanakan ekonomi serta silaturrahim antara kaya-miskin;
3. bersedekah (membantu mereka yang berada dalam kesempitan) adalah perbuatan yang mulia;
4. membayar upah sebelum peluh kering;
5. sifat amanah;
6. menjaga kualiti; dan banyak lagi.

Semua nilai Islam ini perlu ada dalam program keseimbangan dan ditentukan pula mekanisme yang sewajarnya. Ini akan diusahakan kerana bersesuaian dengan amalan Islam Hadhari.

Dengan itu, adalah bertepatan apabila dikatakan Islam Hadhari di Malaysia sudah lama dipraktikkan. Ini lebih kurang sama dengan situasi menamakan bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang. Rupa bentuk dan ciri-cirinya tidak berubah walaupun nama baru muncul. Demikianlah juga dengan Islam Hadhari.

Antara contoh ciri-ciri Islam Hadhari yang pernah dipraktikkan oleh Malaysia sebelum ini ialah:

1. menghormati sensitiviti kaum lain melalui pendemokrasian pendidikan;
2. ketelusan dalam pentadbiran;
3. kebebasan dalam meneroka peluang perniagaan;
4. mengatur-urus projek mega seperti projek Koridor Raya Multimedia;
5. menyeru tanggungjawab sosial ke atas syarikat dan tokoh korporat;
6. perkongsian di setiap peringkat syarikat antara pelbagai kaum;
7. bertukar teknologi dan maklumat;
8. mengikut kehendak masyarakat serantau dan antarabangsa; dan banyak lagi.

VISI DAN MISI ISLAM HADHARI
Jika diperhalusi hala Islam Hadhari dalam pembangunan bukanlah untuk memonopolikan pembangunan hanya untuk ummah saja. Mereka yang bukan dari kalangan umat Islam tidak perlu gusar dan ragu. Mereka diajak bersama-sama memainkan peranan dan bekerjasama untuk kedamaian.

Bahkan Islam Hadhari mengajak dan terbuka kepada semua kaum, semua bangsa, tanpa mengira agama ataupun status (pembangunan). Tentu syaratnya ialah mereka perlu mempunyai sikap mahabbah (persahabatan) sebagaimana yang telah diberikan oleh sejumlah besar negara Asia. Sikap seperti New Zealand dan Australia yang tidak ingin menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) ternyata tidak sesuai dengan Islam Hadhari.

Mewujudkan komuniti yang bersahabat dan bekerjasama adalah selaras dengan ajaran Islam. Komuniti Asia mungkin dapat diwujudkan melalui asas-dasar ini, dan ini pasti menjamin kestabilan, keamanan dan pembangunan komuniti dalam bentuk yang lebih baru dan segar.

KESIMPULAN
Semua ini menjadikan pembangunan Islam Hadhari yang seimbang dan komprehensif satu landasan-contoh untuk semua. Lihat saja bagaimana bidang-bidang kerjasama dipanjangkan dari masa ke semasa di kalangan negara-negara ASEAN… dan Malaysia, dengan nilai-nilai Islam Hadhari, rela menjadi tapak ujian pembangunan untuk kepentingan semua bangsa dan negara.

Malaysia telah pun melakukannya sebelum ini. Perkongsian bestari, makmurkan jiran, membuka pusat inkubator MSC pada semua, adalah antara beberapa kes bagaimana dasar ini diuji sehingga memperoleh kejayaan.

Masa akan menentukan Islam Hadhari muncul sebagai satu eksperimen yang tidak dapat dilupakan oleh manusia seluruhnya.

“Demi masa, manusia berada dalam kesesatan.” Akan tetapi, selagi berpegang pada kitab (al-Quran) dan hadis (As-Sunnah), ummah terjamin keselamatannya!

Tidak ada komentar: